Peningkatan jumlah pengundi baru

images (2)

PENINGKATAN ketara pengundi baru berdaftar di Perak berjumlah 201,117 orang antara 2008 hingga Disember 2012 membuktikan sudah timbul kesedaran dan kecenderungan di kalangan rakyat di negeri ini untuk mengundi bagi menentukan masa depan negara.

Golongan pengundi baru ini termasuk golongan pengundi muda dilihat akan menjadi antara faktor penentu calon dan parti yang akan memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Mengikut pecahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi baru berdaftar di Perak dalam tempoh itu ialah 1,196,160 orang (2008), 1,222,582 orang (2010) dan 1,397,277 orang pada 2012.

Kesemua mereka mendaftar sebagai pengundi selepas pilihan raya umum 2008.

Berdasarkan rekod PRU12 pada Mac 2008, jumlah pengundi di negeri ini ialah 1,170,351 orang yang membuang undi di 24 kawasan Parlimen dan 59 kawasan dewan undangan negeri (DUN).

Pertambahan pengundi berjumlah 201,117 orang itu mencerminkan usaha SPR untuk melihat lebih ramai yang layak mengundi berbuat demikian kini mengalami anjakan besar kesan daripada tsunami politik 2008.

Perkembangan ini adalah positif bagi negeri Perak khususnya dan Malaysia amnya kerana ia menunjukkan bahawa mengundi adalah tanggungjawab yang penting kepada semua warganegara Malaysia yang layak.

Dengan kesedaran itu, adalah diharapkan mereka tidak mensia-siakan undi tersebut dengan merosakkan kertas undi dan sebagainya kerana 1 undi begitu bermakna kepada setiap calon dan parti politik yang bertanding.

Dua perkara yang perlu diingat oleh setiap pengundi di negeri ini ialah pertama, memastikan kerajaan yang dipilih kelak adalah kerajaan yang kuat dengan memperolehi kerusi majoriti 2/3 supaya usaha pembangunan dapat diteruskan

Kedua, elakkan mengundi dengan emosi yang akan membawa musibah dan mala petaka kepada masa depan negara dan generasi akan datang.

Peristiwa tsunami politik 2008 perlu dielakkan daripada berlaku lagi di negeri ini kerana ianya telah memberi implikasi besar terhadap corak sosio budaya, ekonomi dan politik di negeri ini.

Dengan kedudukan majoriti tipis yang diperolehi oleh parti-parti politik yang bertanding di negeri ini pada PRU12, kerajaan yang ditubuhkan menjadi tidak kuat dan tidak stabil hingga menimbulkan ancaman kepada kesejahteraan hidup rakyat.

Justeru itu, kepada pengundi baru yang tentunya teruja untuk mengundi pada PRU13 nanti, pastikan sudah membuat keputusan muktamad untuk mengundi parti politik yang akan membawa Malaysia ke arah transformasi yang lebih baik bagi memenuhi matlamat Wawasan 2020.

Kepada penggerak parti politik khususnya Barisan Nasional (BN) negeri, turunlah ke gelanggang dengan istiqamah dan tawaduk untuk memastikan jumlah pengundi baru yang besar ini tidak terkesima dan bercelaru dengan mengundi pembangkang.

Pengundi baru ini bukan sahaja golongan yang baru mencecah usia 21 tahun, tetapi turut melibatkan mereka yang selama ini tidak pernah mengundi walaupun layak berbuat demikian kerana sikap endah tak endah selama ini.

Psikologi pengundi perlu dipelajari untuk menawan hati mereka di samping strategi memujuk, menyalurkan info terkini yang tepat dan tidak retorik semata-mata.

Dengan cara itu, kebarangkalian perubahan sikap pengundi dapat dimanfaatkan dan peningkatan jumlah pengundi baru ini dapat ditawan kerana sudah ada anjakan minda di kalangan pengundi yang menyedari kesan suasana politik yang huru hara di negeri ini selepas PRU12.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s