Belum sampai masa BN jadi parti tunggal – Dr. M

MahathirUndi

YOGYAKARTA 3 Jun – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, belum sampai masanya bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti yang terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pendekatan terbaik pada masa ini ialah kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum dalam konsep perkongsian kuasa dan kekayaan negara.

“Kita tak boleh ketepikan parti-parti yang mewakili kaum mereka. Walaupun dalam BN terdapat parti-parti yang berbilang kaum, tetapi pada hakikatnya parti yang mendakwa dirinya sebagai berbilang kaum juga didominasi oleh satu kaum sahaja.

“Kalau kita lihat parti Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum, tapi ia dikuasai oleh orang Cina, jadi belum sampai masa kita boleh ketepikan kaum dan kita adakan satu parti,” katanya di sini hari ini.

“Kita lihat DAP umpamanya dikatakan berbilang kaum, tapi sebenarnya dikuasai oleh orang Cina. Demikian juga dengan PKR dikuasai oleh orang Melayu.

“Jadi biasanya, walaupun diadakan satu parti berbilang kaum, satu-satu kaum akan mendominasi dan ini tidak menjadikannya sebuah parti berbilang kaum,” kata Dr. Mahathir.

Beliau berada di sini kerana memberi syarahan umum mengenai Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY).

Dr. Mahathir berkata, BN tidak boleh tergesa-gesa menerima sesuatu cadangan tentang corak dan bentuk parti itu di masa depan, sebaliknya semua cadangan perlu dikaji dengan mendalam akan kesan baik dan buruknya.

Beliau turut ditanya mengenai sama ada BN boleh menerima kemasukan parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagaimana Perikatan pada suatu masa lalu membawa masuk parti pembangkang ke dalam parti gabungan itu.

Dr. Mahathir berkata, BN terbuka kepada parti pembangkang, tetapi mereka mestilah membelakangkan prinsip mereka yang bertentangan dengan perjuangan BN.

Mengenai prestasi UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr. Mahathir berkata, walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

“Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO ataupun perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.

“Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO,” kata Dr. Mahathir. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s