8 beranak daif dapat perhatian

elektrik

02

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my

IPOH 13 Jun – Kepayahan keluarga Azehar Yusop yang terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan daif tanpa bekalan elektrik sejak lebih 20 tahun lalu di Kampung Parit Haji Awi, Bagan Tiang, Parit Buntar mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim (gambar) berkata, siasatan segera akan dilakukan bagi melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga terbabit.

”Kita akan minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat sama ada keluarga ini merupakan antara senarai penerima bantuan JKM atau tidak. Jika tiada, kita akan cuba bantu keluarga ini.

”Berhubung masalah ketiadaan bekalan elektrik pula, kita akan berhubung dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sama ada boleh dilaksanakan program kemasyarakatan TNB untuk keluarga ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita kesusahan hidup Azehar, 49, dan isterinya, Siti Rihat Awang, 49, yang terpaksa berteduh di rumah usang tanpa bekalan elektrik sejak lebih 20 tahun lalu.

Akibat kedaifan hidup yang dialami, Azehar dan Siti Rihat yang tinggal di rumah tersebut bersama enam orang anak mereka yang berusia antara 20 dan 11 tahun terpaksa bergantung kepada pelita minyak tanah pada waktu malam.

Malah kehidupan keluarga ini menjadi lebih sukar apabila Azehar yang tidak lagi mampu turun ke laut untuk menangkap ikan hanya bergantung kepada bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM200 sebulan.

Menurut Rusnah, bantuan yang bakal dihulurkan nanti bukan dari segi kewangan semata-mata, bahkan daripada aspek pendidikan dan kediaman bagi membolehkan keluarga terbabit dapat meneruskan hidup mereka dengan lebih selesa.

”Kita akan lihat rumah yang mereka diami itu sama ada tanah sendiri atau tidak. Jika tanah itu milik mereka, mungkin kes ini boleh dirujuk kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) untuk dibantu.

”Bagaimanapun, semua ini perlu dilihat terlebih dahulu dan saya sendiri akan turun padang dalam masa terdekat bagi mengetahui dengan lebih jelas masalah keluarga ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat sekeliling dan pemimpin setempat lebih peka dalam mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk.

”Kes seperti ini kadang-kala tidak sampai terus ke pengetahuan kita. Jika tahu, sudah tentu sesuatu akan dilakukan bagi membantu mana-mana keluarga yang memerlukan.

”Oleh itu, saya menyeru semua pihak terutama agensi-agensi kerajaan dan jiran tetangga agar sama-sama peka dengan keadaan di sekeliling kita supaya setiap permasalahan yang timbul dapat diatasi dengan sebaik mungkin,” katanya.  UTUSAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s