Pengurusan jenazah dipolitikkan

1

APA akan jadi kepada umat Islam di negeri ini jika sifat berpuak-puak dan memusuhi sesama sendiri lebih diutamakan daripada menunaikan tanggungjawab fardhu kifayah lantaran perbezaan ideologi politik?

Jahil terhadap tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah adalah suatu kerugian terhadap umat yang mengaku dirinya Islam. Berpolitik secara membuta tuli tanpa ilmu juga mendorong  mereka yang terlibat ke arah kesesatan.

Berpijaklah di bumi nyata. Berpolitiklah secara matang. Janganlah ada di kalangan kita yang menjadikan tuntutan fardhu kifayah ini suatu mainan politik.

Fardhu ain wajib dilakukan oleh setiap individu yang bergelar Muslim yang jika ditinggalkan akan mendapat dosa seperti solat lima waktu manakala fardhu kifayah ialah perkara yang  wajib dilakukan oleh sebahagian masyarakat yang jika tiada siapa yang melakukannya, maka seluruh masyarakat akan menanggung dosa.

Contohnya ialah seperti menguruskan jenazah. Jika umat Islam tidak mempunyai ilmu menguruskan jenazah, siapa yang akan menguruskan jenazah setiap kali berlakunya kematian.

Dan sekiranya yang berilmu dan berpengetahuan menguruskan jenazah lebih mementingkan ideologi politiknya, adakah itu tuntutan fardhu kifayah? Adakah setiap perbuatan mereka ini hanya memikirkan laba politik berbanding mendapatkan keredhaan Allah s.w.t?

Masyarakat kita kini  seolah-olah sudah hilang kesantunan apabila ada pihak sanggup menjadikan soal kematian dan pengurusan jenazah sebagai mainan politik sempit untuk memperolehi keuntungan duniawi.

Akibat parti yang disokong kalah dalam pilihan raya, tergamak mereka menjadikan urusan menggali tanah perkuburan pihak yang menjadi seteru dengan caj ribuan ringgit. Tergamak mereka membiarkan jenazah tidak diuruskan dengan segera kerana percaturan politik.

Dahsyat sekali kecelaruan umat Islam hari ini terhadap tuntutan menunaikan fardhu kifayah ini yang mahu disamakan dengan pengurusan jenazah orang bukan Islam. Teori politik tahaluf siyasi sudah dibawa ke dalam bab kematian dan pengurusan jenazah.

Justeru, bagi menghindari gejala kurang sihat dalam masyarakat ini, setiap daripada umat Islam perlu mempelajari ilmu pengurusan jenazah dari menggali liang lahad, memandikan jenazah, mengkafan jenazah, solat jenazah dan mengkebumikan jenazah.

Dengan cara ini, umat Islam di bandar mahupun di kampung tidak lagi sewenang-wenangnya begitu mudah dipermainkan oleh musuh Islam yang menggunakan agama untuk kepentingan politik tanpa memikirkan tuntutan fardhu kifayah.

Jika setiap daripada kita berpengetahuan mengenai tuntutan fardhu kifayah, maka tidak timbul persoalan caj ribuan ringgit semata-mata mahu mengkebumikan jenazah seperti ugutan politik yang didakwa berlaku di negeri ini.

Ketaksuban berpolitik ini perlu dipandu dengan ilmu supaya keharmonian masyarakat tidak terjejas. Lambat laun mereka yang terlibat akan insaf kerana begitu naifnya diri mereka di mata  masyarakat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s