Wakil rakyat guna bahasa pasar?

1

RAKYAT negeri Perak secara sah telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang.

BN yang diterajui Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menang 31 kerusi manakala pembangkang PKR, DAP dan PAS memperolehi 28 kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013.

Jumaat lepas, 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menang dalam PRU13 telah mengangkat sumpah jawatan pada persidangan pertama dewan undangan negeri ke-13 di Ipoh.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker yang baru dilantik, Dato’ S Devamany dengan didahului Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan diikuti 58 ADUN.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dipilih sebagai Speaker setelah memperolehi 31 undi berbanding calon pembangkang V.Sivakumar yang mendapat 28 undi.

Seperti dijangka, pembangkang cuba membuat kecoh pada hari pertama persidangan DUN dengan mempertikaikan prosedur pemilihan calon Speaker DUN daripada BN.

Walaupun telah dijelaskan oleh Setiausaha Dewan, Rumaizi Baharin bahawa beliau memelihara kerahsiaan tugasnya seperti diamanahkan, wakil pembangkang sengaja buat tidak faham.

Ketegasan ADUN Kota Tampan, Dato’ Saarani Mohamad yang menyifatkan tindakan pembangkang membuang masa setelah diberi penjelasan panjang lebar oleh Setiausaha Dewan Negeri akhirnya meredakan kekecohan yang berlaku.

Ibarat kaduk naik junjung, sudah terang lagi bersuluh. Sikap hipokrit pembangkang ini bukan suatu nilai baik yang harus dipertontonkan lagi seperti yang berlaku pada penggal lepas.

Sesungguhnya terdapat tanggungjawab besar yang menanti mereka yang bergelar Yang Berhormat. Persidangan DUN bukan tempat bagi mereka yang suka melanggar peraturan, tidak menghormati hak orang lain, bersifat kebudak-budakan dan tidak mampu berbahas dengan baik bagi mewakili suara rakyat.

Jangan jadikan dewan persidangan seperti pasar borong dengan bahasa pasar mengambil tempat utama kerana terdapat segelintir wakil rakyat yang gagal  menguasai bahasa Melayu untuk berbahas. Ini berlaku pada penggal persidangan yang lepas. Adakah ini standard atau piawai pembangkang di DUN Perak?

Dalam konteks ini, janganlah jadi seperti ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan diri sendiri pun tidak betul. Belajarlah menghormati peraturan persidangan DUN sebagai tempat untuk membincangkan suara dan harapan rakyat.

Justeru, adalah amat penting wakil rakyat menguasai bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi persidangan DUN sebelum mahu dihormati oleh rakyat. Jangan jadikan perbahasan dituruti dengan ayat ‘dengan izin’ berkali-kali.

Jadi, besarlah harapan kita persidangan DUN Perak kali ini tidak lagi dipenuhi dengan polemik politik keterlaluan. Gunakanlah persidangan kali ini untuk menyampaikan perbahasan yang lebih berkualiti dengan menjana idea yang lebih baik bagi kemajuan negeri ini.

Paling penting usaha penyatuan rakyat di negeri ini perlu bermula di persidangan ini yang menjadi tempat penggubalan undang-undang. Jadikan kepimpinan melalui teladan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s