Bersyukur atas segala nikmat tinggal di Malaysia

SUJUD dan syukur. Itulah keperibadian yang wajar dipupuk di kalangan umat Islam di negara ini kerana dapat menyambut kedatangan bulan Ramadan Al Mubarak dalam suasana aman harmoni walaupun negara ini turut dihuni oleh masyarakat majmuk berbilang agama.

Adalah mustahil untuk menyambut kemuliaan Ramadan dalam suasana seperti itu sekiranya negara kita turut terlibat dalam kancah krisis politik yang berpanjangan dan tidak aman.

Justeru, rakyat perlu sedar bahawa keberkatan dan kemudahan untuk menunaikan segala ibadah di bulan Ramadan berkait rapat dengan suasana negara yang tenteram dengan rakyat menikmati kemakmuran hasil daripada usaha pucuk pimpinan negara dan rahmat daripada Allah SWT.

Janganlah kita tergolong daripada kalangan rakyat yang kufur nikmat. Jadilah rakyat yang tahu bersyukur disaat negara mengecapi keamanan dan sewajarnya perlu bagi kita mengekalkan keharmonian serta meningkatkan perpaduan sedia ada.

Namun dalam keterujaan kita menyambut Ramadan, kita tidak seharusnya melupakan cabaran, masalah dan musibah besar termasuk ancaman keselamatan dan perpaduan yang dihadapi beberapa negara Islam ketika ini.

Begitu juga dalam soal keselamatan dan keamanan di negara kita. Kedatangan Ramadan sewajarnya dijadikan titik pertemuan perpaduan ummah dan permuafakatan bagi menyelamatkan survival agama dan bangsa kita.

Di samping itu, tidak terkecuali kepada masyarakat yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam apa jua aspek agar dapat bersama kedatangan bulan yang mulia ini bagi mengubah nasib ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Perlu diingat bahawa kedatangan bulan Ramadan hanya setahun sekali. Munculnya Ramadan kali ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk merebut peluang bagi mempertingkatkan amal ibadah dan ukhuwah umat Islam secara konsisten dan berdisiplin.

Apatah lagi kehadiran bulan Ramadan juga tersingkap pelbagai hikmah dan sejarah termasuklah terjadinya peristiwa Nuzul al-Quran, Lailatul Qadar dan sebagainya.

Sehubungan itu, manfaatkan segala kemudahan tempat beribadat seperti surau dan masjid sebaik mungkin untuk tujuan beribadat, bersolat terawih, bertadarus dan mengimarahkan lagi dengan aktiviti Islam.

Hargailah kemudahan ini sebagai tempat mengikat perpaduan di kalangan umat Islam dan bukan tempat yang menimbulkan perpecahan umat dan menyemai kebencian. Hargailah nikmat ini yang sukar kita dapati di negara Islam lain pada waktu ini.

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa keterujaan umat Islam mencari rezeki dengan berniaga di bazar-bazar Ramadan hendaklah sentiasa dengan niat mencari keberkatan dan tidak sesekali menipu pelanggan dengan menjual juadah yang tidak berkualiti sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai.

Pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa tempatan amat diperlukan supaya peniaga yang terlibat mementingkan aspek kebersihan, kualiti makanan, mempamerkan tanda harga dan tidak meletakkan harga sesuka hati hingga menjejaskan kepercayaan pembeli.

Perlu diingat bahawa penyediaan bazar Ramadan ini adalah antara usaha untuk meningkatkan ekonomi ummah dan pemaparan imej menarik akan dapat menarik perhatian lebih ramai pengunjung dan pembeli.

Kita yakin dengan tindakan proaktif pihak berkuasa tempatan, ia mampu merangsang peniaga meningkatkan kualiti kebersihan makanan dan gerai selain memberi pendidikan kebersihan berasaskan perkara yang dituntut oleh Islam.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jadi, manfaatkanlah segala kemudahan yang kita nikmati pada hari ini dengan rasa syukur dan terima kasih kepada Yang Maha Esa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s