Didik anak-anak tidak bergantung kepada pembantu rumah

BERKERJAYA atau menjadi suri rumah sepenuh masa? Persoalan ini menghantui benak dan fikiran ramai wanita apabila berhadapan masalah mendapatkan pembantu rumah bagi menguruskan anak-anak sewaktu keluar bekerja.

Bagi pasangan yang mempunyai anak kecil dan berpendapatan lebih RM5,000.00 sebulan belum tentu mampu untuk mengeluarkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia sebanyak RM8,000.00 seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Seorang rakan jurutera kimia lulusan luar negara berputih mata apabila mengambil keputusan berhenti kerja kerana memikirkan masa depan anak-anaknya yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang sepenuhnya lantaran tuntutan kerjaya.

Mahu bergantung kepada pembantu rumah untuk menguruskan anak-anaknya, beliau tidak sanggup. Lantaran kos pengambilan pembantu rumah yang meningkat dan cabaran kerjaya yang dihadapinya, beliau memaksa diri untuk berhenti kerja dan menguruskan anak-anak dan rumah tangga.

Tindakannya adalah satu kerugian kepada negara memandangkan untuk melahirkan seorang jurutera yang menuntut di luar negara melibatkan kos yang tinggi.

Namun, itulah fenomena yang berlaku pada hari ini di mana wanita terutama yang bergelar ibu menghadapi tekanan untuk membesarkan anak-anak lantaran kerjaya dan tanggungjawab terhadap rumah tangga.

Persoalannya ialah perlukah wanita mengambil keputusan seperti itu demi menyelamatkan rumah tangga dan mengurus anak-anak? Bagi pasangan yang berpendapatan rendah, langkah itu akan menjejaskan punca kewangan mereka.

Ini kerana pada era teknologi ini ramai wanita berpendapatan tinggi daripada pasangan mereka hingga si isteri yang dilihat menyara keluarga. Namun, oleh kerana sudah jodoh mereka, kehidupan perlu diteruskan untuk saling melengkapi antara satu sama lain demi kesejahteraan keluarga.

Untuk mendapatkan pembantu rumah, mereka pastinya tidak mampu. Jadi, apakah alternatif yang ada kepada mereka bagi mengatasi masalah ini?

Ramai yang mencadangkan supaya diwujudkan lebih banyak taman asuhan kanak-kanak (taska) bagi mengatasi masalah penggantungan kepada pembantu rumah.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, menjelang hujung tahun ini kerajaan mensasarkan 1,000 buah taska baru didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung bilangan kemasukan kanak-kanak ke taska yang semakin meningkat.

Melalui inisiatif kerajaan ini, pengusaha taska baru yang berdaftar dengan JKM akan diberi geran permulaan sebanyak RM3,000.00 bagi taska di rumah dan RM10,000.00 hingga RM20,000.00 bagi taska institusi yang dikendalikan oleh swasta.

Pemberian subsidi oleh kerajaan ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat daripada dibebani oleh kenaikan kos pengambilan pembantu rumah asing.

Namun, apa yang lebih penting ialah pergantungan kepada pembantu rumah ini perlu diubah dengan cara mendidik anak-anak kita supaya lebih berdikari, berupaya mengurus diri, berupaya menjaga keselamatan diri, mengemas rumah dan mengajar anak-anak terutama remaja lelaki dan perempuan untuk rajin ke dapur membantu ibu bapa mereka.

Semua urusan itu boleh dilakukan oleh anak-anak kita jika mereka diasuh berbuat demikian. Didiklah anak-anak kita erti tanggungjawab terhadap keluarga sendiri yang mana abang atau kakak menjaga adik dan seterusnya.

Pendedahan dan pendidikan seperti ini boleh menjimatkan kewangan keluarga daripada terus bergantung kepada pembantu rumah hingga menyebabkan anak-anak hari ini terlalu manja, tidak tahu berdikari dan mempunyai jiwa yang lemah yang serba serbinya mahu diperolehi dengan cara mudah.

Didiklah anak-anak kita berjiwa kental dan tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk melakukan semua urusan peribadi yang boleh diuruskan sendiri. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s