Guna demokrasi pilih pemimpin berakhlak mulia

MULAI 15 Julai hingga 31 Ogos ini adalah musim persidangan tahunan UMNO di peringkat cawangan. Ia menarik perhatian ramai kerana adanya pemilihan jawatan di pelbagai peringkat.

Ini adalah masa penting bagi ahli-ahli UMNO untuk memilih pemimpin terbaik yang dapat memulihkan imej parti tersebut di mata masyarakat.

Persidangan di peringkat cawangan amat penting kerana di situ lahirnya bakal pemimpin untuk menerajui negara di masa hadapan. Tanpa cawangan UMNO tiadalah bahagian, negeri dan peringkat tertinggi kepimpinannya.

Justeru, untuk mendapatkan barisan kepimpinan yang disukai rakyat, ia bermula di peringkat cawangan. Jika di peringkat cawangan, ahli-ahli UMNO mengambil mudah proses pemilihan pemimpin, ianya akan berterusan di peringkat bahagian, negeri dan peringkat tertinggi kepimpinan parti.

Sebagai sebuah parti terbesar yang menjadi wadah perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini, proses pemilihan pemimpinnya tidak boleh dibuat sembrono dan tangkap muat sahaja.

UMNO kini mempunyai lebih 3.4 juta ahli di seluruh negara. Dengan jumlah keahliannya, UMNO dilihat parti yang kukuh mendapat sokongan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ahli-ahlinya untuk memilih pemimpin yang disenangi rakyat kerana parti tersebut akan berhadapan cabaran getir dalam pilihan raya umum ke-14 kelak.

Gunakan demokrasi untuk memilih pemimpin yang berintegriti, mempunyai latar belakang bersih, berani mempertahankan hak agama, bangsa dan negara.

Jika ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan memilih pemimpin yang diragui dan dipertikaikan dari segi akhlak dan keperibadiannya, ia akan menjejaskan imej parti itu pada pandangan umum.

Justeru, tiada lagi istilah kasihan kepada mereka yang tidak mampu lagi memimpin parti mengikut peraturan dan transformasi politik yang diusahakan di peringkat kepimpinan tertinggi parti tersebut.

Cawangan UMNO yang mempunyai rangkaian suami, isteri, anak dan menantu yang memegang jawatan penting di peringkat cawangan perlu bermuhasabah diri dengan membuka peluang kepada ahli baru untuk menyerlahkan bakat kepimpinan.

Jangan jadikan parti UMNO hak ekslusif keluarga hingga menghalang hak ahli yang lain untuk dipilih sebagai pemimpin. Jangan tonjolkan sikap kroni dalam memilih kepimpinan di peringkat cawangan kerana ia salah satu faktor yang menakutkan orang Melayu menyertai UMNO.

Ahli-ahli UMNO perlu sedar bahawa zaman selesa telah berlalu. Jika memegang jawatan untuk kepentingan diri melebihi kepentingan parti, mereka akan ditolak oleh rakyat.

Dalam keadaan cabaran politik hari ini, ahli-ahli UMNO perlu sedar bahawa pemilihan pemimpin haruslah bersifat inklusif dan berorientasikan kehendak rakyat yang melibatkan ramai ahli yang berkebolehan. Mereka perlu diketengahkan sebagai pemimpin pelapis masa depan.

Justeru, ahli-ahli parti itu perlu membuktikan bahawa ia merupakan parti yang mengamalkan demokrasi tulen yang menggalakkan persaingan sihat dalam usaha melahirkan pemimpin yang ada kelas kepimpinan tersendiri sejajar dengan transformasi politik negara.

Ingatlah bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s