DAP Perak tanpa PAS

SENARIO pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), DAP melalui kenyataan pemimpinnya mahu menghapuskan Ketuanan Melayu di negara ini. Kenyataan itu bergema di Stadium Perak di Ipoh dan disambut oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan PAS.

Sorakan oleh penyokong Pakatan Rakyat ini yang terdiri daripada kalangan Melayu Islam membuktikan mereka tidak kisah Ketuanan Melayu dihapuskan. Tidak tahulah apakah yang merasuk fikiran golongan itu sehingga bersetuju dengan kenyataan itu.

Hari ini PAS sudah berpisah dengan DAP dan PKR. Dua parti ini dengan penyertaan parti serpihan iaitu PAN dan PPBM telah membentuk Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.

Di mana pendirian Melayu Islam dalam Pakatan Harapan ini? Masih lagi mahu menghapuskan Ketuanan Melayu?  Siapa ‘raja’ dalam pakatan baharu ini? Siapa yang memerangi Islam dan Ketuanan Melayu ini? Siapa yang berjuang mahu menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan agama Islam di negara ini?

Tidak sukar dibaca strategi DAP untuk mengelirukan orang-orang Melayu. Malangnya, ramai Melayu liberal muncul yang menyokong strategi DAP ini. Mereka kemarukkan kuasa, jawatan dan berjuang kerana individu yang disukai walaupun sudah disabitkan kesalahan di mahkamah.

Rakyat tertipu dengan mainan politik menghalalkan cara. PAS dengan perjuangan Islamnya, UMNO memperjuangkan nasib Melayu. Jika dicantumkan, kedudukan kedua-dua parti ini akan menjadi lebih kuat dan  suaranya akan menggerunkan musuh-musuh Islam.

Namun, itu bukanlah realitinya pada hari ini. PKR dilihat sebagai parti keluarga, kroni dan memperjuangkan individu untuk diangkat menjadi Perdana Menteri walaupun sudah  meringkuk di penjara. Parti ini kononnya berjuang untuk rakyat, sama rata sama rasa.

Apa peduli erti perjuangan agama dan bangsa asalkan dapat menguasai dan memerintah sebuah negeri yang telah dimajukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Apa peduli, selagi memegang kuasa, kautlah kekayaan yang ada. Rakyat hanya djadikan perisai untuk kedurjanaan politik dan kuasa.

Begitu juga dengan DAP. Apa peduli dengan perjuangan Melayu Islam di negara ini kerana perjuangan mereka menuntut hak sama rata dan dapat memerintah Malaysia. Apa peduli dengan kontrak sosial, apa peduli hak keistimewaan orang-orang Melayu. Apa peduli dengan tuntutan Melayu Islam supaya penguasaan ekonomi diagih secara adil dan saksama. Apa jadi kepada Melayu Islam di Pulau Pinang?

Realitinya, mana mungkin parti yang berkiblatkan sosialis dan perjuangan komunis ‘ala bandar’ mahu diletakkan sandaran untuk membela Ketuanan Melayu dan pemerintahan Islam di Malaysia..

Kini PAS sudah sedar mainan DAP dan PKR. Apa pun alasan terputusnya kerjasama politik antara parti-parti tersebut, yang pasti ia adalah kemenangan kepada umat Islam yang sayangkan perjuangan bangsa dan agama di negara tercinta ini.

Harapan DAP yang memiliki 18 kerusi DUN di Perak untuk mempergunakan ahli-ahli PAS untuk strategi politik memenangi pilihan raya dan seterusnya menguasai negeri itu kini terbatas.

Kemampuan jentera pilihan raya PAN, PKR dan PPBM di negeri itu masih belum diuji. Kebanyakan ahli ketiga-tiga parti itu adalah di kalangan mereka yang kecewa dalam UMNO dan PAS.

Penubuhan parti baru hanya untuk merebut kerusi dalam pilihan raya dan mengangkat diri sendiri sebagai pemimpin utama. Rakyat dan pengikut hanya dijanjikan harapan kosong ditaburkan fitnah, dihasut membenci UMNO kononnya untuk menyelamatkan Malaysia.

Walaupun di kalangan kepimpinannya bangga mempunyai pengalaman professional dan  kelayakan akademik tinggi, namun jelas sekali setiap kali menjadi calon pilihan raya, mereka yang provokatif ini adalah calon yang kalah.

Pada PRU12 dan PRU13, di kalangan pemimpin PAN menang atas sokongan jentera PAS. Mampukah mereka menang tanpa jentera PAS lagi?

DAP mengharapkan jentera pilihan raya PAN, PKR dan PPBM untuk menawan negeri itu dengan menjadikan pemimpin Melayu di kalangan tiga parti tersebut sebagai proksi dan ‘Menteri Besar Boneka” seperti yang berlaku dalam rejim pemerintahan DAP  11 bulan selepas PRU12.

Adakah pengundi Melayu Islam di negeri itu masih belum sedar mainan dan strategi politik pilihan raya DAP ini? Siapa agaknya anak-anak Melayu liberal yang akan memakai baju roket, berselimutkan bendera lambang roket dalam PRU14?

Halangan DAP hanyalah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang menetapkan Melayu beragama Islam sebagai Menteri Besar. Justeru, berlakulah usaha untuk merebut jawatan tersebut di kalangan ahli PAN, PKR dan PPBM serta ahli Melayu dalam DAP.

DAP bangga dapat merekrut anak-anak Melayu liberal menyertai parti itu bagi memenangi pilihan raya atas nama demokrasi. Lihatlah promosi parti itu setiap kali anak muda Melayu berkelulusan menyertai parti tersebut. Manakala anak-anak Melayu liberal ini seronok diangkat, dipuji dan dipergunakan bagi tujuan merebut kuasa pemerintahan di negara ini.

Namun, sebelum itu, ketiga-tiga parti tersebut perlu memastikan calon-calon mereka menang dalam PRU14 bagi mencapai tujuan tersebut.

Kebarangkaliannya, itulah harapan DAP dan sekutunya tanpa PAS bagi menguasai semula kerajaan Negeri Perak yang kini dikuasai UMNO.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s